Biodata Tunku Ibrahim Ismail ibni Tunku Mahmud Iskandar

Tunku Ibrahim Ismail ibni Tunku Mahmud Iskandar diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Baginda merupakan anakanda sulung daripada 10 adik-beradik kepada Sultan Iskandar bersama bondanya iaitu Josephine Ruby Trevorrow, seorang Inggeris dari Torquay. Mereka berdua bertemu ketika Sultan Iskandar (sebelum itu Tunku Mahmud) melanjutkan pelajarannya di England. Trevorrow kemudiannya memeluk agama Islam dan menukar namanya kepada Kalsom binti Abdullah setelah berkahwin dengan Tunku Mahmud.

Tunku Ibrahim Ismail ibni Tunku Mahmud Iskandar
Tunku Ibrahim Ismail ibni Tunku Mahmud Iskandar


Seperti kanak-kanak yang lain, Tunku Ibrahim juga melanjutkan pelajaran. Sekolah pertama baginda ialah Sekolah Temenggong Abdul Rahman 1. Setelah itu, baginda kemudiannya menyambung pelajarannya di Trinity Grammar School di Australia pada 1968 selama dua tahun. Sekembalinya baginda ke Johor, baginda kemudiannya belajar di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB). Di samping itu, Tunku Ibrahim juga bersekolah di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek di Johor Bahru bagi mempelajari asas-asas agama Islam.

Beberapa tahun kemudian, Tunku Ibrahim telah dihantar ke Pusat Latihan Darat (Pulada) di Kota Tinggi untuk menerima latihan asas ketenteraan selama tiga bulan dan kemudiannya ke Fort Bening, Georgia, Amerika Syarikat. Di situ, baginda telah mengikuti Kursus Asas Pegawai-Pegawai Infantri dan Udara. Setelah berada di situ, beliau kemudiannya mengikuti Kursus Pegawai-Pegawai Pasukan Khas di Fort Bragg, Amerika Syarikat. Selepas itu, Tunku Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Komander, Angkatan Tentera Johor. Baginda menerima sayap penerbangan selepas menerima kursus latihan helikopter di Kem Tentera Kluang. Tuanku juga menamatkan tugas latihan selama dua bulan dalam Tentera Laut Diraja Malaysia.

Sebagai Tunku Mahkota Johor


Tunku Ibrahim Ismail telah dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981 dan telah berdiam di Istana Pasir Pelangi sejak itu. Baginda pernah menjadi pemangku sultan Johor pada 26 April 1984 hingga 25 April 1989 ketika ayahandanya, Sultan Iskandar telah dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang kelapan. Dalam beberapa tahun belakangan ini, Tunku Ibrahim secara beransur-ansur mengambil alih beberapa tugas negeri dan fungsi dari ayahandanya yang telah tua termasuklah ketika mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-211 dimana Tunku Ibrahim bersama Tunku Abdullah, Tengku Mahkota Pahang telah mewakili ayahanda masing-masing dalam mesyuarat itu.

Pemasyhuran sebagai Sultan Johor


Beberapa jam sebelum kemangkatan ayahandanya Sultan Iskandar pada 22 Januari 2010, Tunku Ibrahim Ismail sekali lagi dilantik sebagai pemangku sultan berikutan laporan perubatan mengenai kemangkatan Sultan Iskandar yang masih belum disahkan. Pada waktu malam hari yang sama, Sultan Iskandar telah mangkat dan Tunku Ibrahim dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang baharu pada esoknya berdasarkan Undang-Undang Tuboh Kerajaan Johor 1895 dengan gelaran Sultan Ibrahim. Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengumumkan pemasyhuran itu di Istana Besar Johor Bahru dan mengumumkan tentang musim perkabungan bagi kerabat diraja Johor yang terdekat adalah selama 40 hari manakala bagi rakyat Johor pula ialah 7 hari. Semasa musim itu juga, Sultan Ibrahim pertama kalinya ke mesyuarat Majlis Raja-Raja sebagai Sultan Johor.

Kemahkotaan Sultan Johor kali ke-4



Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor diperkenalkan oleh Sultan Johor Moden yang pertama iaitu Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1886 selepas baginda mendapat ilham daripada lawatan baginda Empayar British dan Empayar Uthmaniyah. Baginda memperkenalkan konsep mahkota kepada raja-raja Melayu yang kemudiannya diikuti oleh Kelantan, Selangor dan Terengganu.

Pada tahun 2013, kerja-kerja penaiktarafan Istana Besar Johor dan Istana Bukit Serene telah mula dilangsungkan atas perkenan baginda yang berkehendaki agar Istiadat Kemahkotaan baginda diadakan pada 5 Mei 2014, sempena baginda menjadi Sultan Johor yang ke-5. Walau bagaimanapun, disebabkan kerja-kerja yang tidak dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, Istiadat tersebut ditangguh.

Pada Januari 2015, Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor iaitu Datuk Abdul Rahim Ramli menyampaikan perkenan baginda untuk melangsungkan Istiadat Kemahkotaan baginda. Kali terakhir Istiadat tersebut dilangsungkan ialah pada tahun 1960 iaitu Kemahkotaan Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim. Sultan Iskandar pula tidak berkehendakkan Istiadat Kemahkotaan buat dirinya.

Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor kali-4 ini bakal diadakan pada 23 Mac 2015 dan disambut secara besar-besaran yang bermula dari Istiadat Meletak Kerja pada 16 Mac 2015 dan diisi dengan 9 istiadat utama dan keraian di seluruh negeri Johor sehingga bulan April 2015.

Istiadat ini akan memperlihatkan kembali tradisi diraja Johor moden yang mempamerkan tradisi gabungan Melayu, Islam dan Barat dalam istiadat itu.
Keluarga

Sultan Ibrahim telah mengahwini Raja Zarith Sofiah, puteri kepada Sultan Idris Shah II dari Perak pada tahun 1982. Mereka mempunyai 6 orang anakanda iaitu:
  • Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar (dilahirkan pada 30 Jun 1984 (31 tahun)). Baginda telah dilantik sebagai Raja Muda Johor oleh nendanya, Sultan Iskandar dan menjadi Tunku Mahkota ketika zaman pemerintahan Sultan Ibrahim.
  • Tunku Aminah Maimunah Iskandariah (dilahirkan pada 8 April 1986 (30 tahun))
  • Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman (dilahirkan pada 25 Disember 1988 (27 tahun))
  • Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibrahim Ismail (dilahirkan pada 5 Julai 1990 dan mangkat pada 5 Disember 2015 (umur 25))
  • Tunku Abdul Rahman Hassanal Jeffri (dilahirkan pada 5 Februari 1993 (23 tahun))
  • Tunku Abu Bakar Mahmood Iskandar Ibrahim (dilahirkan pada 30 Mei 2001 (15 tahun))
0 Komentar untuk "Biodata Tunku Ibrahim Ismail ibni Tunku Mahmud Iskandar"

Back To Top